Surat AYAH
Mata ayah tidak berhenti berkedip laju
saat lima waktu itu. Kemerahan menggambar rasa hati yang pelbagai namun
bersatu dalam erti syukur yang mendalam. Emak lemah di sisi katil saat
lima kali itu, bersama mungil senyumnya dan linang air mata tenggelam
dalam syahdu azan yang berbisik.
Ayah
tidak pernah sekali memberitahu dalam barisan ayat bagi setiap
rasanya. Ayah bukan ego, tetapi takut perasan kekasih ayah terganggu,
itulah sifat melindungi ayah. Tapi hakikatnya, saat lima kali dalam
masa sembilan bulan setiap satu, ada dua perasaan besar tergantung di
hati ayah, gembira dan risau. Gembira kerana keluarga yang dibina bakal
mengembang lagi, risau akan keadaan sang rusuk diri yang bertarung
nyawa demi memanjang nilai cinta. Tetapi ayah tahu, ALLAH Az Zawajalla
itu Al Wadud, dan ayah hanya boleh mengharap padaNya. Jika kedua
generasi itu hidup bernyawa, syukur alhamdulillah sememangnya
tanggungjawab ayah terus terpikul buat setiap kekasih hati ini. Namun
jikalau pun sang rusuk diri menghadap ILAHI setelah bertarung melahir
zuriat kami, lalu itu lah saat janjiNya dengan ALLAH swt telah terpatri
sejak azali. Dan tiada lain yang mampu ayah lakukan mahupun kesalkan,
tetap du’a semoga husnul khatimah itu menjadi miliknya.
Alhamdulillah
selama lima kali itu ALLAH swt yang maha pemurah memberi kelanjutan
nafas pada sang rusuk ayah untuk bersama ayah menjaga lima cahaya hati
yang bakal ayah kemudi buat mencari nilai insan kepada Ilahi dan nilai
diri kepada insani. Dan tetap du’a ayah tidak mampu terputus pada Ilahi
semoga bait ini mampu membuah jannah di hati. Ayah bukan lelaki hebat
iman dan amalnya, nilai pendidikan ayah juga tidak tinggi. Tetapi
harapnya bersama keluarga ini dapat ayah menyemai nilai hamba sepenuh
kudrat dan kemampuan ayah, dengan setiap titisan ilmu yang mampu ayah
kutip walau bukan di sekolah atau di mana-mana institusi. Kerana ayah
tahu, ALLAH swt itu tidak menilai hambaNya leka seperti insan menilai
manusia lainnya. Zahir dan nyata itu kapasiti penilaian insan,
sedangkan ALLAH swt itu miliki dan mengetahui setiap semua termasuk
yang ghaib.
Kerana
emak sudah lima kali itu memerah kudrat infiniti yang ayah sendiri
sebenarnya tidak tergambarkan, maka ayah amat memahami kenapa syurga
itu terletak di telapaknya, bukan ayah. Dan ayah patuh bahawa sayang
kepada emak itu datang pada tiga di awalnya barulah kemudian datangnya
ayah. ALLAH Az Zawajalla itu amat adil, bahkan kudrat ayah membanting
tulang mencari rezeki juga mana mungkin dapat mengganti kudrat ibu
melahir lima penyambung kaseh kami. Ayah gembira malahan amat
menyayangi emak dan ibu ayah sebegitu hendaknya.
Ayah
terlalu bersyukur kerana kalian tetap gembira di dalam kepayahan
keluarga ini, walau terkadang pagi mengais petangnya barulah menghadam
rezeki, tetapi kalian tetap optimis dengan ayah. Menumpang kegembiraan
kalian, ayah puas dengan rezeki sedikit ini kerana itu yang menyatu hati
kita.
Anak-anak ini seperti
bangunan, kita mesti fahami tahap kebolehannya menahan tekanan, jika
diberi lagi tekanan berlebihan, takut nanti ia terus roboh tanpa siap
seperti perancangannya. Seharusnya kita membinanya berhati-hati,
melihat cara dan bahan bagaimana yang mampu membuat sesuatu bangunan
itu kukuh, jika betul caranya, insya’Allah bangunan itu mampu berdiri
tegak dan kuat, malah mungkin menjadi suatu bangunan ternama suatu hari
nanti. Sungguh karenah kalian amat menghibur ayah. Ayah benar hadam
setiap keletah kalian, yang setiapnya ada kelebihan masing-masing yang
membanggakan ayah. Setiapnya mewarna rasa berbeza di dalam jiwa,
kalianlah pelangi hidup ayah. Walau terkadang ngilu juga menahan rasa,
tetapi ayah tidak mampu menyembunyikan bahagia. Lima permata ayah,
terdapat ribuan perbezaan lagaknya. Lelah ayah tak pernah anggap sebagai
beban, malah ia amanah ayah dengan Tuhan. Janji ayah saat emak
bersetuju menerima ayah sebagai suaminya. Sementelah terlafaz aqad, rasa
tanggungjawab itu kejap menyelinap, sehingga sehela nafas pun ayah
berat untuk menganggap kalian ini beban.
Maafkan
ayah jika ayah lokek dengan pernyataan. Entah kenapa ayah merasakan,
perkataan tidak mampu mewakili segala penghargaan. Tetapi ya,
sekurang-kurangnya perlu juga meluahkan, itu yang terbaik. Lalu maafkan
ayah untuk tidak menyatakan. Tetap dada ayah sarat dengan lafaz yang
tersimpan. Mungkin itu kelemahan ayah, tetapi ayah harap kalian terima
kelemahan ayah seperti mana ayah menerima kalian. Kelemahan kalianlah
kekuatan ayah, kelebihan kalian itu pelengkap ayah. Dan harapnya
kelemahan ayah mampu menjadi kekuatan kalian juga. Ya kekuatan,
kekuatan untuk kalian untuk tidak mengulangi kelemahan seperti ini
terhadap kemudi kalian akan datang.
Ayah
dan emak tidak pernah menganggap diri ini berkorban. Kerana semua ini
tanggungjawab, malah kami berasakan jika kalian terabai, kami ini tidak
berkelengkapan. Terasa diri sungguh kekurangan.
Tetapi
sebagai ayah, ayah mengharapkan kalian menghargai emak, ibu kalian
sang rusuk ayah. Lima kali ayah menyaksi keperitan emak melahirkan, dan
sementelah itu dia yang menggenggam ribuan tanggungjawab tanpa keluh
kesah dengan senyum yang tetap indah. Kerana tahu diri itu sebagai
rusuk keluarga, dan hidup ini tetap dalam aturanNya.
Pernah
sekali emak memarahi anaknya, dan salah seorang kalian mungkin tidak
tahan melihat emak menangis, lalu meminta ayah memujuk dan menasihati
emak untuk bersabar dan berhenti. Ayah menggeleng. Sungguh bukan ayah
tidak mahu dan tidak kasihan, tetapi biarkanlah emak meluahkan sedikit
setelah penat ia menyimpan rasa hati.
‘Emak penat berkerja untuk ayah dan keluarga. Sedang dia sebagai isteri bukan itu tanggungjawabnya. Jadi biarlah jika dia mahu marah atau mebebel sedikit. Mungkin itu menghilang lelahnya. Janganlah melawan ya nak. Kasihan emak. ‘
Nasihat ayah pada kalian. Syukur semua mengangguk faham.
Sungguh
bukan niat ayah untuk bias, membezakan kasih antara kalian dengan
emak. Tetapi sungguh, ayah merasakan itu hak terbesar emak kepada kita
semua.
Maafkan
ayah kerana ini sahaja yang mampu ayah berikan buat kalian. Ayah kini
sudah tua, menjadi pesara rupanya amat payah sekali. Terutama apabila
berfikir akan apa lagi yang mampu ayah sumbangkan buat kalian. Tiada
mungkin. Along, angah dan alang juga sudah berumah tangga. Kalian sudah
ada bait sendiri yang bakal kalian tempuhi. Du’a ayah kalian kekasih
ayah selamanya, moga kalian membuat sehabis baik dan lebih baik dari
ayah dan emak.
Emak
selalu kata, kami tidak pernah mengharapkan balasan mahupun wang.
Benar, sekali pun tidak pernah fikirkan itu. Tapi cukuplah sekadar
kalian sudi menyumbang du’a juga buat kami dan pengakhiran kami.
Kalianlah harta yang ayah bakal tinggalkan dan kutip sedikit ni’matnya
di akhirat kelak.
Jika di tanya
kepada hati seorang ayah, apakah yang dia harapkan akan masa depan
anak-anaknya? Ayah sebenarnya amat mengharapkan kalian berjaya tentang
urusan-urusan akhirat kalian. Kerana kalam Pencipta telah berkata, jika
kita meletakkan dunia di dalam hati kita, maka dunialah yang Dia akan
berikan kepada kita. Tetapi jika akhirat kita sematkan di sudut hati
kita, maka Dia akan berikan kita kedua-duanya, dunia dan akhirat.
Justeru, ayah memang tidak pernah meletakkan harapan kalian menjadi
orang besar kelak, tetapi biarlah kalian besar dengan iman dan amal.
Dan semua itu amat memerlukan kepada ilmu.
Tetapi
janganlah bersalah sangka nak, ayah tidak sekali memandang hina jika
kalian tidak berjaya ke menara gading, kerana bukan di situ letaknya
kesemua ilmu, galilah ilmu di mana jua kalian berada dan di letakkan,
kerana sesungguhnya ilmu itu sentiasa berada di sisi manusia. Bacalah,
dan bacalah. Di situlah kunci segala ilmu, untuk meraih dunia dan juga
akhirat.
Anak-anak
ayah dan emak, adalah kekuatan diri ayah. Ayah mahu menjadi hambaNya
yang terbaik melalui kalian. Ayah juga di uji melalui kalian. Ayah di
beri ganjaran ni’mat dan rahmat juga melalui kalian. Lalu ayah
benar-benar bersyukur atas kehadiran kalian. Dan amat-amat berterima
kasih kepada kalian. ALLAH Az Zawajalla jualah yang memberi nikmat
kasih sayang pada hati insan bergelar ayah dan emak, islam lah yang
menyebar debunga wangi ini di seluruh pelusuk dunia buat membentuk
jundi yang bakal melatari dasar dunia membentuk bentangan indah sebuah
kehidupan mawaddah di akhirat kelak. Lalu jangan sekali kita lupakan
Dia Pemberi ni’mat kasih dan cinta ini.
Buat
anak-anak ayah, jika tercicir, bangkitlah. Jika tersasar, beralihlah
kembali. Kembali sebagai anak-anak ayah yang telah melafaz syahadah
semenjak kecilnya. Yang berwariskan agama ini, ia bukan warisan sekadar
namanya, tetapi subur kanlah dengan amal-amalmu. Kalian pewaris ayah,
dan ayah wariskan semerbak wangian jalan mardhatillah ini buat kalian
mengemudi bahtera kalian pula. Mungkin, inilah satu-satunya harapan
balasan ayah dan emak dari kekasih hati ayah semua.
Ayah
dan emak kini kembali berdua, berbulan madu dirumah ini. Namun hati
dan du’a kami sentiasa buat kalian, kekasih-kekasih hati ayah, semoga
barakah dan inayah ALLAH Az Zawajalla sentiasa melingkari hidup kita
sekeluarga dan tarbiyyah Nya menemani setiap derap langkah kita
menyemai benih di dunia, sebidang ladang buat akhirat.
Du’a buat kekasih hati sehingga terputus nafas ini
~Ayah~
---
No comments:
Post a Comment